Memimpin Atau Dipimpin?

Sesuatu yang pelik akan berlaku apabila kita berhadapan dengan perkara-perkara yang kita tidak gemari. Dari melakukan perkara yang sepatutnya dibuat, seperti bertindak dengan bijak dan redha serta bertawakal terhadap keadaan, sebaliknya kita menuding jari, merungut dan menjauhkan diri. Kita sering bersikap pasif, mengharungi kehidupan sebagai seorang pemerhati, lebih daripada seseorang yang suka membantu atau menyokong. Kita bagaikan memiliki ratio harian untuk bersikap "mengambil bahagian" dari sikap "menonton", dimana sikap "menjadi penonton" kita lebih tinggi dari apa yang mahu akui.

Bagi aku, apabila kita sedang membina atau melakukan sesuatu dengan orang lain, sikap dalaman kita akan mendefinasikan perbezaan diantara melakukan sesuatu yang boleh kita banggakan atau tidak. Kita harus membuat pilihan samaada kita perlu "memimpin atau dipimpin". Jika kita tergolong dari mereka yang komited didalam melakukan tugasan, kita harus fokus samaada untuk memimpin orang lain, atau lebih bersedia untuk memberi sokongan kepada mereka yang sedang memimpin.

Pemimpin vs. Dipimpin

Kita membahagi-bahagikan dunia kita kepada dua kategori: baik dan jahat, gembira dan sedih, bunga dan benih, kita dan mereka. Aku kecewa dengan anggapan dan sikap ini kerana aku dapati, apabila kita keluar dari "comfort zone" dan mula melihat apa yang ada diluar sana, sebenarnya dunia ini tidak diketagorikan seperti ini. Dunia ini penuh dengan kepelbagaian. Kita mengkategorikan dunia disekeliling kita kerana ia meyakinkan kita apabila kita melakukan sesuatu perkara. Bergantung kepada pemilihan kategori yang tepat dan pada masa yang betul, sikap ini banyak membantu kita. Namun kita harus ingat bahawa realiti dunia tidak seperti ini, hanya tanggapan kita sahaja yang membuat kita melihat dunia disekeliling kita sebegini.

Pada bila-bila masa dan didalam apa jua tugasan, kita sebenarnya sedang memimpin atau sedang dipimpin. Jika kita tidak tahu apa yang kita sedang buat atau kemana arah tuju kita, ini maknanya kita sedang dipimpin oleh seseorang. Di tempat kerja, kebiasaannya segolongan kecil akan memimpin manakala sebilangan besar pula akan dipimpin. Katagori "memimpin dan dipimpin" ini seterusnya boleh dikelaskan sebagai formal seperti dipejabat dimana tugasan-tugasan telah ditetapkan, atau tidak formal seperti pasukan futsal dimana tugasan-tugasan sebagai penyerang atau pertahanan boleh berubah-ubah.

Apabila seseorang itu sedang memimpin, perkara asas dan paling utama yang perlu dilakukan oleh orang-orang yang sedang dipimpin olehnya itu adalah untuk memberi sokongan kepadanya. Seorang pemimpin yang bijak dan berkebolehan hanya boleh menjadi efektif apabila orang-orang yang sedang dipimpin olehnya itu juga turut bijak dalam menyokong keputusan yang dibuat oleh pemimpin tersebut. Pemimpin memerlukan sokongan dari orang-orang yang sedang dipimpin. Apabila dikelilingi oleh majoriti orang-orang yang hanya mahu dipimpin, perkara yang terbaik untuk dilakukan adalah untuk bertindak seperti seorang ketua. Jika objektif utama kita adalah untuk maju kehadapan seperti bangsa-bangsa lain, tanggungjawab kita yang sedang dipimpin ini adalah untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka yang sedang memimpin.

Bagaimana Aku Memimpin

Jujurnya aku gementar untuk memimpin kerana ianya meletakkan aku "dibawah lampu suluh" dan aku terpaksa kebalkan diri agar tidak mudah tersinggung. Sukar bagi aku untuk memimpin jika aku tidak meletakkan diri serta pendapat aku tentang sesuatu isu diluar sana untuk diperhati lalu dikritik oleh semua. Ini sebab utama aku rasa kenapa ramai yang tidak gemar untuk memimpin, walaupun mereka dengan begitu mudah mengkritik aku. Sedikit sebanyak aku terpaksa mendedahkan perangai aku yang sebenar kepada semua dan aku rasa kurang senang apabila diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan yang melibatkan semua pihak.

Kita jarang sekali berjumpa dengan seorang pemimpin yang hebat. Kebanyakan mereka yang ditugaskan untuk memimpin kita sering gagal. Bagi aku, memimpin membawa maksud mengolah serta membuat keputusan untuk kebebaikan semua berdasarkan objektif yang dipertanggungjawabkan kepada aku. Ini memerlukan aku untuk banyak berkorban, demi memenuhi objektif kerja. Tidak perlu aku ceritakan disini, tetapi mereka yang rapat dengan aku dan yang bijak berfikir akan mampu menangkap apa yang aku maksudkan.

Sebagai seorang pemimpin, aku cuba menyemai sikap positif dikalangan anak-anak buah aku. Kadang-kadang aku gunakan cara memujuk, memahami, "give and take", dan bermain politik untuk kepentingan semua. Apa-apapun caranya, hasrat utama aku adalah untuk memastikan anak-anak buah aku menjalankan tugas mereka dengan ikhlas dan jujur. Aku cuba, dengan sedaya-upaya, untuk tidak menggunakan kaedah memaksa. Setiap hari aku berfikir untuk mencari jalan bagi membantu mereka mencari motivasi untuk datang berkeja dengan perasaan yang gembira dan rela hati. Aku tidak suka membuat membuat semua ini dengan cara memberi arahan atau dengan cara-cara istemewa. Aku ada cara aku yang tersendiri kerana aku rasa, ini semua memerlukan perubahan mentaliti yang menyeluruh serta memaksa kita semua untuk keluar dari "comfort zone" masing-masing. Aku perlukan masa dan sokongan dari semua pihak untuk berjaya.

Memimpin bukan bererti memaksa sesuatu keputusan. Niali seorang pemimpin bagi aku terletak pada bagaimana dia membawa impak positif kepada anak-anak buahnya dan bukan dengan kuasa yang ada pada tangan mereka. Dengan memberikan fokus kepada impak-impak positif, banyak perkara-perkara baik serta produktif akan wujud. Menggunakan kuasa pula bagi aku, akan lebih membawa kesan-kesan yang negatif kepada semua.

Tanggungjawab Mereka yang Dipimpin

Jika kita membuat keputusan untuk tidak memimpin, atau didalam situasi dimana anda sedang dipimpin oleh seseorang, anda sebenarnya adalah seorang pengikut. Menjadi seorang pengikut tidak semestinya membuat anda tidak penting. Ia bermaksud anda bertanggungjawab untuk bertindakbalas mengikut apa yang telah diarahkan oleh pemimpin anda. Menawarkan cadangan, nasihat, dan pendapat boleh dijadikan sebagai kekuatan anda yang sedang dipimpin.

Jika anda dihormati oleh rakan-rakan sekerja, sokongan yang anda berikan kepada pemimpin mampu merubah sesuatu matlamat menjadi realiti. Inilah ramuan yang penting jika kita mahu merubah mentaliti kita dan seterusnya membantu anak-anak bangsa kita sendiri. Jika anda melihat pemimpin anda sedang giat berusaha untuk mecapai sesuatu objektif, anda seharusnya berusaha dengan keras untuk melaksana dan mencapai matlamat tersebut - walaupun anda tidak dapat memahami keputusan mereka. Kadang-kadang, keputusan yang dibuat oleh pemimpin tidak dapat dilihat kebaikkannya dengan serta-merta. Seperti yang aku katakan tadi, perubahan mentaliti memerlukan masa dan sesetengah keputusan yang dikeluarkan oleh pihak atasan ada kebaikannya untuk jangkamasa panjang. Jika anda bertindak untuk memberontak, kita semua akan rugi. Bila kita rugi, sampai bilapun kita tidak akan maju seperti mana bangsa-bangsa lain yang ada diluar sana.

Fikirkanlah kawan-kawan... 

0 Response to "Memimpin Atau Dipimpin?"

Post a Comment