Mengapa Aku Kuat Membebel.

Sebenarnya aku ada satu perangai buruk. Perangai buruk aku ini dikenali sebagai "perangai tidak boleh menutup mulut". Kalau dan bila aku rasa sesuatu perkara itu tidak betul, aku akan terus mengangkat tangan, lalu mulut aku terus berdebat - sebelum otak aku dapat membuat penilaian tentang akibat yang bakal aku terima selepas itu.

Pokoknya, setiap kali aku berhujah tentang apa yang logik dari sudut pandangan operasi, serta apa yang ada didalam kepala, aku selalunya akan dibenci serta dikritik dengan hebat. Kebanyakkan orang disini agak sukar menerima kebenaran berdasarkan logik. Aku dapati, jika lebih banyak aku bercakap (sehingga berbuih mulut), lebih mudah lagi bagi mereka untuk tidak mempedulikan aku. Dengan senang aku dilabel "kuat membebel", lalu semua nasihat serta teguran positif akan langsung tidak diendahkan. Teguran-teguran positif aku akan ditembak hanya kerana reputasi aku ini.

Pada awal karier aku dahulu, aku berkerja dalam suatu budaya dimana aku diperlukan untuk menegur serta diajar untuk menyemai pendapat/pendirian sendiri. Jika aku melihat sesuatu yang tidak betul sedang berlaku, aku diwajibkan untuk berani berkata "Saya rasa benda ini tak betul dan ini sebab-sebabnya." Jika teguran tersebut benar, aku akan diberikan tepukan, tanpa mengira betapa seniornya orang-orang yang terdapat didalam bilik mesyuarat tersebut. Aku pernah berdebat dengan pengurus jabatan, pengurus kanan, dan beberapa lagi golongan manusia yang menakutkan, kasar, serta bijak menegakkan benang yang basah. Apa yang bagusnya, budaya ini diterima oleh semua lapisan kerja, asalkan hujah aku itu tepat dan berkredibiliti. Jika hujah aku itu salah dan tiada kredibiliti, aku akan ditegur, dan bukannya dipecat. Kadang-kadang walaupun salah, aku tetap akan diberikan pujian kerana berani bersuara. Aku berkembang didalam budaya ini dan menganggap inilah hakikat didalam alam perkerjaan.

Apabila aku berpindah tempat kerja, aku mendapati diri berada didalam satu persekitaraan baru yang jauh berbeza, penuh dengan putus asa, dan suasana agresif yang pasif. Ramai yang tidak bercakap tentang apa yang ada didalam fikiran masing-masing. Segelintir tidak mahu berusaha dengan keras atau jarang bertanyakan soalan-soalan yang sukar. Kualiti kerja, dan semangat untuk berjuang terlalu rendah. Aku sering menyuarakan hakikat ini kepada pihak pengurusan kerana aku rasa ini adalah tanggungjawab aku sebagai seorang penyelia. Aku juga begitu berharap akan diberikan ganjaran kerana berani menyuarakan betapa buruknya keadaan. Pada pandangan aku, tiada sebab untuk mereka tidak mahu mendengar pendapat aku ini.

Dalam tempoh masa yang singkat, aku dilabel sebagai seorang yang suka "mencari pasal" dan "kuat komplen." Aku mengharapkan pujian kerana berjaya mengenalpasti kelemahan, tetapi perkara yang sebaliknya berlaku. Salah aku disini adalah apabila aku tidak mempertimbangkan yang kumpulan ini mempunyai budaya dan cara mereka yang tersendiri ketika berurusan dengan perkara dibawah paras standard. Beberapa bulan kemudian aku menyedari sesuatu yang aku sepatutnya sedar dari awal. Aku berada didalam suatu budaya yang sangat berbeza. Bunyinya agak pedir sekarang, tetapi pada masa itu aku agak tidak matang kerana mengaggap budaya diluar ini sama dengan budaya dari mana aku datang.

Aku sedar didalam perkerjaan lama aku, kemajuan dicapai bukan kerana aku betul atau berani bersuara. Kemajuan dicapai kerana pihak pengurusan mendengar pendapat dan kemudian mengambil langkah-langkah yang perlu diambil berdasarkan pendapat tersebut. Pihak pengurusan memberi kuasa untuk aku membuat keputusan. Idea yang bagus tanpa kuasa untuk bertindak diatas idea tersebut tidak akan merubah apa-apa. Idea sahaja tidak mencukupi, begitu juga dengan bersuara lantang untuk menegakkan idea tersebut. Tidak kira sekuat atau selantang mana kita bersuara, bercakap dan membuat adalah dua perkara yang berbeza.

Ada kalanya sesuatu masalah itu terlalu buruk dan kita perlu menyuarakan pendapat kita terhadapnya, walaupun ianya membawa akibat yang buruk kepada diri sendiri. Aku cuba memilih dengan bijak pertempuran-pertumpuran yang aku akan hadapi. Jika setahun berlalu dimana aku tidak mengambil satu pendirian yang teguh terhadap sesuatu situasi, aku adalah seorang pengecut.

Inilah sebabnya mengapa aku sering membaca untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan serta meluaskan lagi pengalaman dengan membuat kerja-kerja yang pelik. Harapan aku adalah supaya anak-anak aku akan mengikut sifat-sifat aku ini dan menjadi lebih berjaya dari diri aku. Aku ingin sekali merubah nasib bangsa  dengan cara aku tersendiri. Impaknya mungkin tidak ketara tetapi sekurang-kurangnya aku melakukan sesuatu yang positif.

0 Response to "Mengapa Aku Kuat Membebel."

Post a Comment